abyat minal albi

Meh join....

Selasa, 1 Disember 2009

SAMBUNGAN BAB 6.




Bab 6: Percanggahan dalam al-Qur'an



Contoh Percanggahan # 1



Contoh Percanggahan # 2



Contoh Percanggahan # 3



Contoh Percanggahan # 4



Contoh Percanggahan # 5



Contoh Percanggahan # 6



Contoh Percanggahan # 7



Contoh Percanggahan # 8



Contoh Percanggahan # 9



Contoh Percanggahan # 10



Contoh Percanggahan # 11



Contoh Percanggahan # 12



Contoh Percanggahan # 13



Contoh Percanggahan # 14



Kaedah Menghilangkan Percanggahan Antara

Ayat-Ayat al-Qur’an.









Apabila membaca judul di atas, pasti kita akan menjadi hairan kerana di dalam al-Qur’an tidak wujud apa-apa percanggahan. Manakan tidak, bukankah Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:

Seandainya al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. [an-Nisa’ 4:82]

Akan tetapi jika kita membaca buku-buku orientalis dan melawat beberapa laman web para pendakwah Kristian, kita akan menemui bahawa mereka menuduh wujud percanggahan di dalam al-Qur’an.[1] Untuk membenarkan tuduhan tersebut, mereka telah mengemukakan banyak contoh. Contoh-contoh ini sebahagiannya kelihatan benar-benar bercanggah sehingga timbul persoalan di benak orang yang membacanya: “Benarkah tiada percanggahan di dalam al-Qur’an?”



Jawapannya: “Ya! Sememangnya tiada percanggahan di dalam al-Qur’an.” Adapun contoh-contoh percanggahan yang dikemukakan, ia wujud sama ada kerana kejahilan para penuduh itu sendiri atau kesengajaan mereka untuk menggoyang keyakinan umat Islam ke atas kitab al-Qur’an.



Melalui penulisan ini, penulis akan mengemukakan beberapa contoh percanggahan yang dituduh diikuti dengan penjelasan bagi menghilangkan percanggahan tersebut. Penulis tidak akan menjelaskan semua ayat-ayat yang dituduh saling bercanggah, akan tetapi akan memilih beberapa sahaja yang “paling hebat” percanggahannya. Di akhir penulisan ini, penulis akan menerangkan beberapa kaedah bagi menghilangkan percanggahan bagi membantu para pembaca sekalian menghilangkan percanggahan terhadap ayat-ayat lain yang tidak penulis jelaskan di sini.



Contoh Percanggahan # 1

Yang manakah dicipta terlebih dahulu, langit kemudian bumi atau bumi kemudian langit?

Dalam ayat 27-30 surah an-Nazai‘at diterangkan bahawa langit dicipta terlebih dahulu, kemudian bumi:

(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! Dia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, Dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang. Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya). [an-Nazi‘at 79:27-30]



Akan tetapi dalam ayat 29 surah al-Baqarah diterangkan bahawa bumi dicipta terlebih dahulu, kemudian langit:

Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia beristawa’ ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [al-Baqarah 2:29]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 1

Yang benar adalah langit dicipta terlebih dahulu, kemudian bumi sebagaimana yang diterangkan oleh surah an-Nazi‘at. Adapun surah al-Baqarah, perhatikan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menyebut “kemudian Dia mencipta langit dan beristawa’ ke arahnya…” akan tetapi “kemudian Dia beristawa’ ke arah langit…” bererti langit sudah sedia wujud ketika itu. Tidak ada perkataan (خلق) “mencipta” yang digunakan untuk langit dalam surah al-Baqarah. Maka apabila Allah “menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi”, langit sudah sedia dicipta sebelum itu.

Oleh itu tidak ada apa-apa percanggahan melainkan salah faham ke atas ayat 29 surah al-Baqarah.





TOP





Contoh Percanggahan # 2

Siapakah yang mencabut nyawa manusia, adakah Malaikat Maut, para malaikat atau Allah?

Dalam ayat 11 surah as-Sajdah dinyatakan bahawa yang mencabut nyawa ialah Malaikat Maut:



Katakanlah: “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan).” [as-Sajdah 32:11]

Akan tetapi dalam ayat 27 surah Muhammad dinyatakan bahawa yang mencabut nyawa ialah para malaikat (ramai):

Maka bagaimanakah (mereka dapat menolak azab seksa) apabila para malaikat mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan punggung mereka? [Muhammad 47:27]



Sebaliknya dalam ayat 42 surah az-Zumar dinyatakan bahawa Allah yang mencabut nyawa:

Allah, Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya… [az-Zumar 39:42]





Penjelasan Bagi Percanggahan # 2

“Ketua” yang diamanahkan untuk mencabut nyawa manusia ialah Malaikat Maut [as-Sajdah 32:11]. Dia tidak bersendirian dalam tugas ini kerana dibantu oleh para malaikat yang lain [Muhammad 47:27]. Akan tetapi sama ada Malaikat Maut atau para malaikat, mereka tidak mencabut nyawa manusia sesuka hati melainkan di atas perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala [az-Zumar 39:42].

Dalam erti kata lain, mencabut nyawa manusia adalah hak dan urusan Allah yang dilaksanakan-Nya melalui Malaikat Maut atau para malaikat yang lain. Sememangnya Allah boleh mencabut nyawa manusia tanpa melalui Malaikat Maut atau para malaikat yang lain. Akan tetapi Allah ‘Azza wa Jalla memiliki hikmah-Nya yang tersendiri yang mungkin tidak mampu difikirkan akal manusia.

Oleh itu tidak ada percanggahan di dalam ayat-ayat di atas melainkan ia saling menjelaskan antara satu sama lain.



TOP





Contoh Percanggahan # 3

Berapa kumpulan orang yang akan wujud pada Hari Akhirat, dua kumpulan atau tiga kumpulan?

Ayat 18-19 surah al-Balad menyatakan dua kumpulan, pertama di kanan dan kedua di kiri:

(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan. Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. [al-Balad 90:18-19]



Akan tetapi ayat 7 surah al-Waqi’ah menyatakan terdapat tiga kumpulan:

Dan kamu pula menjadi tiga kumpulan. [al-Waqi’ah 56:07]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 3

Umpamakan seorang ayah sedang makan tengahari. Apabila ditanya kepada anaknya yang sulong apa yang diperbuat oleh ayahnya, dia menjawab: “Ayah sedang makan.” Apabila ditanya kepada anak yang kedua, dia menjawab: “Ayah sedang syok makan nasi gulai ikan dengan sambal belacan.” Pada zahirnya kelihatan wujud percanggahan antara keterangan anak sulung dan anak kedua. Akan tetapi sebenarnya tidak demikian, anak sulung hanya menerangkan secara umum perbuatan ayahnya manakala anak kedua memperincikannya.

Kembali kepada perbincangan asal, ayat 7 surah al-Waqi’ah sebenarnya memperincikan keumuman ayat 18-19 surah al-Balad. Surah al-Balad merujuk kepada kumpulan orang beriman di sebelah kanan dan kumpulan orang kafir di sebelah kiri. Kumpulan orang beriman di sebelah kanan seterusnya di pecahkan kepada dua kumpulan dengan dibezakan antara orang yang sederhana kedudukannya dengan yang lebih mulia kedudukannya.



Surah al-Waqi’ah selengkapnya berbunyi:

Dan kamu pula menjadi tiga kumpulan, Iaitu kumpulan pihak kanan – alangkah bahagianya keadaan kumpulan pihak kanan itu. Dan kumpulan pihak kiri – alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu. Dan (kumpulan yang ketiga ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia) yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di Akhirat kelak), Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah). [al-Waqi’ah 56:7-11]

Oleh itu tidak ada percanggahan melainkan perincian kepada sesuatu yang umum.





TOP



Contoh Percanggahan # 4

Berapa lamakah diambil untuk mencipta alam ini, adakah 6 masa atau 8 masa?

Dalam ayat 54 surah al-A’raaf dinyatakan 6 masa:

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa. [al-A’raaf 7:54]



Akan tetapi dalam ayat 9 hingga 12 surah Fussilat dinyatakan 8 masa, 2 masa bagi bumi, 4 masa bagi apa yang berada di atas bumi dan 2 masa lagi untuk 7 lapisan langit (2+4+2=8):

Katakanlah: “Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya! Yang demikian (sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan sekalian alam.

Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapkannya (tersergam tinggi) di atasnya serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada pada-Nya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka, (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.

Kemudian Dia beristawa’ ke arah langit sedang langit masih berupa asap lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela.”

Lalu Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. [Fussilat 41:9-12]





Penjelasan Bagi Percanggahan # 4

Ayat 54 surah al-A’raaf bermaksud untuk menerangkan tempoh seluruh penciptaan manakala ayat 9-12 dalam surah Fussilat bermaksud memperincikan penciptaan tersebut kepada kategori-kategorinya yang tersendiri. Tempoh bagi setiap kategori penciptaan tidak semestinya dicampurkan untuk mendapat tempoh bagi seluruh penciptaan. Ini kerana Allah mampu melakukan dua atau lebih perkara serentak.

Oleh itu apabila Allah menerangkan penciptaan bumi selama 2 masa, apa yang berada di atas bumi selama 4 masa dan 7 lapisan langit dalam 2 masa, ia tidak berlaku secara berasingan tetapi serentak. Yang pentingnya, setiap kategori penciptaan ini tidak dimaksudkan untuk dicampurkan secara berasingan antara satu sama lain.[2] Tidak wujud apa-apa percanggahan dalam contoh di atas melainkan perincian ke atas sesuatu yang umum.





TOP



Contoh Percanggahan # 5

Adakah semua makhluk taat kepada Allah?



Ayat 26 surah ar-Rum menyatakan “Ya”:

Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaan-Nya (Allah), masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturan-Nya. [ar-Rum 30:27]



Akan tetapi ayat 14 surah an-Nisa’ menerangkan wujud orang yang derhaka dan Allah akan mengazab dia:

Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya serta melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghina. [an-Nisa’ 4:14]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 5

Umpamakan seorang ayah yang berkata: “Semua anak-anak mesti pergi ke sekolah pagi ini”, lalu kemudian memandang kepada salah seorang daripada mereka dan berkata: “Umar tak perlu kerana masih belum pulih daripada demam.” Dalam arahan si-ayah, kelihatan wujud percanggahan. Percanggahan ini dapat ditolak dengan memahami bahawa arahan asal bagi semua anak-anak ialah mesti pergi ke sekolah. Pengecualian diberikan kepada Umar kerana dia masih demam.

Kembali kepada perbincangan asal, ayat 26 surah ar-Rum merujuk kepada hukum asal ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala, iaitu semuanya patuh kepada Allah. Ayat 14 surah an-Nisa’ menerangkan pengecualian daripada hukum asal tersebut, di mana manusia diberi pilihan sama ada untuk mengikut petunjuk Allah (Islam, al-Qur’an dan Rasul-Nya) atau mengabaikan petunjuk tersebut sehingga akhirnya mereka taat atau derhaka kepada Allah.

Pengecualian ini, atau dalam perkataan lain, kebebasan memilih diterangkan dalam sebuah ayat yang lain:

Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. [Ta-Ha 20:123-124]

Oleh itu tidak wujud apa-apa percanggahan melainkan satu pengecualian daripada hukum asal.





TOP





Contoh Percanggahan # 6

Menuduh wanita suci berzina, adakah dijatuhkan hukum atau dimaafkan?

Ayat 23 surah an-Nur menjatuhkan hukuman:

Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar. [an-Nur 24:23]



Ayat 4-5 surah an-Nur memaafkan mereka:

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahan menuduh tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [an-Nur 24:4-5]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 6

Umpamakan seorang ibu yang memarahi anak-anaknya: “Siapa yang memecahkan pasu bunga ini cakap sekarang!” Kemudian ayah menyampuk: “Melainkan dia segera mengakui dan meminta maaf.” Kelihatan wujud percanggahan antara kata-kata ibu dan ayah. Sebenarnya tidak demikian kerana kata-kata ibu merujuk kepada hukum asal manakala kata-kata ayah membataskan kemutlakan hukum asal tersebut kepada yang enggan mengakui dan meminta maaf sahaja. Maka anak yang memecahkan pasu bunga akan dihukum melainkan dia segara mengakuinya dan meminta maaf.

Penjelasan yang sama ditujukan kepada contoh percanggahan di atas. Ayat 23 surah an-Nur merujuk kepada hukum asal di mana sesiapa yang menuduh wanita suci sebagai telah melakukan zina, mereka dijatuhkan hukuman. Ayat 4-5 bertindak sebagai membatasi kemutlakan ayat 23, di mana yang dijatuhkan hukum hanyalah terbatas kepada penuduh yang enggan bertaubat. Adapun penuduh yang bertaubat dan memperbaiki amalannya, maka dia tidak dijatuhkan hukuman.

Oleh itu tidak wujud apa-apa percanggahan melainkan pembatasan kepada sesuatu yang mutlak.





TOP





Contoh Percanggahan # 7

Beberapa kesilapan dan percanggahan nombor di dalam al-Qur’an: Adakah satu masa bersamaan dengan 50,000 tahun atau bersamaan dengan 1,000 tahun?

Dalam ayat 4 surah al-Ma‘arij diterangkan bahawa satu masa bersamaan dengan 50,000 tahun:

Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya pada satu masa yang tempohnya 50,000 tahun. [al-Ma‘arij 70:04]



Dalam ayat 5 surah as-Sajdah diterangkan bahawa satu masa bersamaan dengan 1,000 tahun:

Allah mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya dari langit ke bumi, kemudian diangkat naik kepada pengetahuan-Nya (segala yang berlaku) pada suatu masa yang tempohnya 1,000 tahun menurut hitungan kamu yang biasa. [as-Sajdah 32:05]



Demikian juga dalam ayat 47 surah al-Hajj diterangkan bahawa satu masa bersamaan dengan 1,000 tahun:

Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janji-Nya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu masa di sisi Tuhanmu adalah seumpama seribu tahun dari yang kamu hitung. [al-Hajj 22:47]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 7

1,000 tahun atau 50,000 tahun, maksud yang ingin dicapai oleh ayat-ayat di atas bukanlah bilangan nombor tetapi tempoh yang panjang. Walaubagaimanapun, seandainya perhatian hendak diberi kepada nombor, ia tetap tidak saling bercanggah mahupun tersilap kepada setiap ayat di atas merujuk kepada latarbelakang peristiwa yang berbeza.

Umpamakan Ahmad yang bergerak dalam jarak 100 meter. Pada ketika pertama dia mengambil masa 15 saat manakala pada ketika yang lain dia mengambil masa 70 saat. Pada zahirnya kelihatan berbeza akan tetapi perbezaan ini akan hilang jika dikaji latarbelakang antara dua ketika tersebut. Pada ketika yang pertama, ia adalah tempoh masa yang diambil oleh Ahmad ketika mengambil bahagian dalam acara sukan pecut 100m anjuran sekolahnya. Pada ketika kedua, ia adalah tempoh masa yang yang diambil oleh Ahmad ketika bersiar-siar dengan ibunya di taman. Dalam kedua-dua ketika di atas, Ahmad bergerak dalam jarak 100 meter, akan tetapi latarbelakang yang berbeza menyebabkan dia mangambil masa yang berbeza.

Kembali kepada ayat-ayat al-Qur’an di atas, setiap ayat di atas merujuk kepada latarbelakang peristiwa yang berbeza. Satu masa yang bersamaan dengan 50,000 tahun merujuk kepada Hari Akhirat, iaitu hari yang diminta-minta azabnya oleh orang kafir. Latarbelakang ini dapat kita ketahui dengan merujuk kepada seluruh perbincangan ayat dari awal:

Salah seorang meminta kedatangan azab yang (dijanjikan) akan berlaku, azab yang disediakan untuk orang-orang yang kafir, yang tidak ada sesiapapun dapat menolak kedatangannya, Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik, yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya pada satu masa yang tempohnya 50,000 tahun. [al-Ma‘arij 70:1-4]



Adapun satu masa yang bersamaan dengan 1,000 tahun, maka ayat 5 surah as-Sajdah merujuk kepada masa di dunia kini. Manakala ayat 47 surah al-Hajj merujuk kepada “di sisi Tuhanmu (Allah)” dan ini berbeza dengan di sisi kita di dunia masa kini.

Oleh itu tidak ada kesilapan mahupun percanggahan nombor dalam ayat-ayat di atas kerana masing-masing merujuk kepada latarbelakang yang berbeza.[3]





TOP





Contoh Percanggahan # 8

Bolehkah bersoal-jawab antara satu sama lain di Hari Akhirat?



Ayat 101 surah al-Mu’minun menyatakan tidak boleh:

Kemudian apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan. [al-Mu’minun 23:101]



Akan tetapi ayat 25 surah ath-Thur menyatakan boleh:

Dan mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya. [ath-Thur 52:25]



Ayat 27 surah ash-Shaffat juga menyatakan boleh:

Dan mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya. [ash-Shaffat 37:27]





Penjelasan Bagi Percanggahan # 8

Sekali lagi, percanggahan dapat dihilangkan dengan mengenal pasti latarbelakang bagi ketiga-tiga ayat di atas. Ayat 101 surah al-Mu’minun merujuk kepada suasana Hari Kiamat apabila manusia semua dibangun dan dihimpunkan bagi menghadapi pengadilan masing-masing. Suasana yang amat dahsyat ketika itu menyebabkan mereka tidak dapat bersoal-jawab sesama mereka:

Di hadapan mereka ada Alam Barzakh (alam kubur) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat). Kemudian apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan. Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam. [al-Mu’minun 23:100-103]

Ayat 25 surah ath-Thur merujuk kepada suasana di dalam syurga. Latarbelakang ini dapat dikenali dengan merujuk kepada permulaan kisah:

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga dan nikmat kesenangan. Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan mereka dan mereka dipelihara Tuhan dari azab neraka……[ath-Thur 52:17-18]



Ayat 27 surah ash-Shaffat juga merujuk kepada suasana yang berbeza, iaitu orang-orang yang bersalah dalam perjalanan ke neraka. Latarbelakang ini dapat dikenali dengan merujuk kepada permulaan kisah pada ayat 22:

(Allah berfirman kepada malaikat): “Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka serta benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka. [ash-Shaffat 37:22-23]



Oleh itu tidak wujud percanggahan kerana setiap kes merujuk kepada latarbelakang yang berbeza.





TOP





Contoh Percanggahan # 9

Adakah dosa syirik diampunkan?

Dalam ayat 48 surah an-Nisa’ dinyatakan sekali-kali tidak diampun:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. [an-Nisa’ 4:48]



Akan tetapi mengikut ayat 153 surah an-Nisa’, apabila pengikut Nabi Musa melakukan syirik dengan menyembah patung anak lembu, mereka diampunkan:

Kemudian mereka menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan, lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu. Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata. [an-Nisa’ 4:153]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 9

Melakukan syirik sememangnya adalah dosa besar kecuali apabila orang yang melakukannya bertaubat. Apabila dia bertaubat maka Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengampunkan dosa syiriknya itu. Kaum Nabi Musa yang menyembah patung anak lembu telah bertaubat lalu kerana itu Allah mengampunkan mereka. Taubat mereka tidak disebut dalam ayat 153 surah an-Nisa’ tetapi dalam ayat 148-149 surah al-A’raaf:

Dan kaum Nabi Musa, sesudah dia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara. (Allah berfirman): “Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman.”

Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah mereka: “Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.” [al-A’raaf 7:148-149]

Oleh itu tidak ada percanggahan melainkan kejahilan dalam memahami kisah sebenar perjalanan hidup kaum Nabi Musa ‘alaihissalam.





TOP





Contoh Percanggahan # 10

Adakah semua malaikat bersikap taat?

Ayat 49-50 surah an-Nahl menyatakan semua melaikat bersikap taat:

Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur. Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaan-Nya) serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan. [an-Nahl 16:49-50]



Akan tetapi dalam ayat 34 surah al-Baqarah, apabila diperintahkan kepada para malaikat untuk sujud kepada Adam, semua malaikat sujud kecuali iblis:

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah (beri hormat) kepada Nabi Adam.” Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur lalu menjadilah dia dari golongan yang kafir. [al-Baqarah 2:34]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 10

Benar bahawa semua malaikat bersikap taat kepada perintah-larangan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Apabila diperintahkan sujud kepada Nabi Adam ‘alaihissalam, semua malaikat sujud tanpa ada yang tertinggal:

Maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali. [al-Hijr 15:30]



Adapun Iblis yang tidak sujud, ia adalah kerana dia bukan daripada jenis malaikat tetapi daripada jenis jin yang memiliki pilihan sama ada untuk bersikap taat atau tidak. Hal ini dijelaskan dalam ayat yang berasingan:

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan iblis – dia adalah daripada golongan jin. [al-Kahfi 18:50]



Timbul persoalan selanjutnya, jika iblis bukan daripada jenis malaikat, kenapa dia dihukum kerana tidak sujud kepada Adam? Bukankah perintah sujud hanya ditujukan kepada para malaikat dan bukan jin?

Jawapannya, dalam bahasa Arab apabila wujud dua kumpulan di mana satunya besar dan satu lagi kecil jumlahnya, perintah kepada kumpulan yang besar merangkumi kumpulan yang kecil juga. Pada saat itu para malaikat membentuk kumpulan yang besar manakala para jin membentuk kumpulan yang kecil. Maka apabila perintah sujud kepada Nabi Adam ‘alahissalam diseru kepada para malaikat, ia merangkumi para jin juga.

Iblis sedia mengetahui hal ini. Oleh itu apabila ditanyakan “Apakah penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku (Allah) perintahmu?”, Iblis tidak menjawab “Aku tidak sujud kerana perintah hanya dituju kepada para malaikat manakala aku daripada para jin.” Sebaliknya iblis mengakui dia termasuk dalam perintah tersebut namun dia enggan sujud kerana merasakan dirinya lebih hebat. Perhatikan ayat-ayat berikut:

Kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis – dia tidak termasuk dalam golongan yang sujud.

Allah berfirman: “Apakah penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam. Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” [al-A’raaf 7:11-12]



Oleh itu tidak wujud percanggahan dalam ayat-ayat di atas melainkan kejahilan tentang perbezaan antara malaikat dan jin serta kaedah bahasa Arab.





TOP





Contoh Percanggahan # 11

Apakah yang sebenarnya dikatakan oleh kaum Nabi Lut untuk menolak dakwahnya?

Ayat 82 surah al-A’raaf:

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” [al-A’raaf 7:82]



Ayat 56 surah an-Naml:

Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: “Usirlah ahli keluarga Lut dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” [an-Naml 27:56]



Ayat 29 surah al-Ankabut:

Maka kaumnya (Nabi Lut) tidak menjawab selain daripada berkata: “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar.” [al-Ankabut 29:29]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 11

Apabila merujuk kepada kisah-kisah nabi terdahulu di dalam al-Qur’an, perlu digariskan bahawa ia melibatkan 3 perkara:

1. Manusia yang berinteraksi,

2. Suasana interaksi tersebut berlaku dan

3. Faktor yang melatarbelakangi manusia dan

suasana tersebut.

Apabila secara zahir kelihatan seolah-olah wujud percanggahan di dalam kisah-kisah para nabi terdahulu, hendaklah ia dianalisa berdasarkan 3 perkara di atas. Ini kerana ia mungkin berlaku antara individu yang berbeza dan/atau suasana yang berbeza dan/atau disebabkan oleh faktor yang berbeza. Persamaan atau perbezaan inilah yang lazimnya menyebabkan sesuatu kisah kelihatan bercanggah.

Ucapan kaum Nabi Lut ‘alaihissalam di atas semuanya adalah benar. Perbezaan atau percanggahan wujud kerana ia disebut dalam suasana yang berlainan. Ini kerana Nabi Lut tidak menyampaikan dakwah kepada kaumnya hanya sekali tetapi berulang-kali. Setiap kali beliau menyampaikan dakwah, kaumnya menolak dengan kata-kata yang berbeza-beza sepertimana dalam ayat-ayat di atas.

Justeru perbezaan atau percanggahan dapat dihilangkan dengan menyedari bahawa ia berlaku disebabkan suasana interaksi yang berbeza.





TOP





Contoh Percanggahan # 12

Apakah yang dikata oleh Nabi Musa ‘alaihissalam ketika terlihat api di sebalik Gunung Tursina?

Ayat 10 surah Ta-Ha:

Ketika dia (Nabi Musa) melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: “Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api. Semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu penunjuk jalan.” [Ta-Ha 20:10]



Ayat 7 surah an-Naml:

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada isterinya: “Sesungguhnya aku ada melihat api, aku akan bawakan berita dari situ kepada kamu atau aku akan bawakan colok api daripadanya supaya kamu dapat memanaskan diri.” [an-Naml 27:07]



Ayat 29 surah al-Qasas:

Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu dan berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir), dia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung Tursina. (Ketika itu) berkatalah dia kepada isterinya: “Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ atau sepuntung dari api itu supaya kamu dapat memanaskan diri.” [al-Qasas 28:29]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 12

Ucapan di atas semuanya dilafazkan oleh Nabi Musa ‘alahissalam dalam suasana yang sama, iaitu apabila dia terlihat api di sebalik Gunung Tursina. Akan tetapi disebabkan kegembiraan yang bercampur debaran, beliau telah berpesan kepada isterinya berulang-kali, bahawa hendaklah isterinya tunggu sebentar sementara dia pergi melihat apakah yang sebenarnya ada di sebalik Gunung Turnisa. Sekalipun lafaz pesanannya adalah berbeza tetapi maksudnya adalah sama.

Hal ini adalah sesuatu yang lazim bagi manusia di mana apabila dia dilanda kegembiraan yang bercampur debaran dan harapan, adakalanya dia mengulang-ulang sesuatu ucapan dengan lafaz yang berbeza-beza sekalipun maksud yang ingin disampaikannya adalah sama.

Inilah yang sebenarnya berlaku kepada Nabi Musa ‘alahissalam. Lebih-lebih lagi apabila dia dan isterinya sedang berjalan berduaan pada waktu malam yang sejuk. Api yang kelihatan di sebalik Gunung Tursina menimbulkan kegembiraan, dengan harapan mereka dapat menggunakannya untuk memanaskan diri (lihat di akhir an-Naml 27:07 dan al-Qasas 28:29). Namun ia juga menimbulkan debaran, siapakah yang menyalakan api tersebut, apakah tujuan dinyalakan api dan sebagainya.

Dalam contoh di atas, percanggahan dapat dihilangkan dengan merujuk kepada faktor yang melatarbelakangi peristiwa tersebut. Berlaku perbezaan dalam lafaz Nabi Musa ‘alaihissalam disebabkan kegembiraan dan debaran yang dihadapinya saat itu.





TOP





Contoh Percanggahan # 13

Apakah yang difirmankan oleh Allah kepada Nabi Musa di Gunung Tursina?

Ayat 11-12 surah Ta-Ha:

Maka apabila dia sampai ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci.” [Ta-Ha 20:11-12]



Ayat 8-9 surah an-Naml:

Maka apabila dia sampai ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: “Berkat yang melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat api ini dan sesiapa yang ada (di daerah) sekelilingnya, dan Maha Sucilah Allah Tuhan sekalian alam. Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [an-Naml 27:8-9]



Ayat 30 surah al-Qasas:

Maka ketika dia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu: “Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam. (Api itu hanya untuk menarik perhatian Musa ke tempat itu dan bukannya zat Allah). Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu.”

(Musa mencampaknya) maka apabila dia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu dia diseru): “Wahai Musa! Datanglah kemari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari orang-orang yang beroleh aman.” [al-Qasas 28:30-31]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 13

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat-ayat di atas kepada Nabi Musa ‘alaihissalam semuanya berlaku dalam suasana yang sama. Akan tetapi demi memberi keyakinan kepada Nabi Musa akan perutusannya sebagai seorang Rasul, Allah mengulang-ulang firman-Nya secara berbeza-beza sekalipun maksud yang ingin disampaikan adalah sama. Hal ini adalah perlu kerana perutusan sebagai seorang Rasul bukan sahaja sesuatu yang amat besar tetapi juga tidak pernah dijangka oleh Nabi Musa.

Cara sebegini adalah sesuatu yang lazim berlaku dalam kehidupan harian kita. Untuk meyakinkan seseorang dengan sesuatu yang baru lagi besar, kita akan cuba pelbagai cara. Jika ingin menjelaskan sesuatu kepada orang lain yang masih ragu-ragu, kita akan mengulang-ulangnya dengan lafaz dan gaya penyampaian yang berbeza.

Inilah yang berlaku kepada Nabi Musa apabila dia tiba di Gunung Tursina untuk mencari api yang dilihatnya sebelum itu. Oleh itu percanggahan dapat dihilangkan dengan memahami faktor yang melatarbelakangi perbezaan lafaz firman Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Nabi Musa ‘alahissalam.





TOP





Contoh Percanggahan # 14

Seorang atau lebih malaikat yang datang berjumpa Maryam?

Ayat 17-21 surah Maryam menyebut seorang malaikat:

Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka. Maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami (Malaikat Jibrail) lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.”

Dia (Malaikat Jibrail) berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci.” [Maryam 19:17-19]



Ayat 45 surah Ali Imran menyebut para malaikat:

(Ingatlah) ketika para malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan dia juga daripada orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).” [Ali Imran 3:45]



Penjelasan Bagi Percanggahan # 14

Kedua-dua ayat di atas merujuk kepada dua suasana yang berbeza. Ini kerana untuk mengkhabarkan kepada Maryam bahawa dia nanti akan hamil tanpa seorang ayah adalah sesuatu yang amat besar, malah mustahil mengikut kebiasaan manusia. Justeru untuk memberikan keyakinan dan pada waktu yang sama ketenangan kepada Maryam, hal tersebut dikhabarkan kepada beliau dua kali, iaitu melalui malaikat Jibrail ‘alaihissalam yang menjelma menjadi manusia dan melalui para malaikat. Tidaklah penting yang mana berlaku terlebih dahulu, yang mana kemudian.

Oleh itu percanggahan di atas dapat dihilangkan dengan kefahamana bahawa ia berlaku dalam dua suasana yang berbeza.



Demikianlah 14 contoh percanggahan “paling hebat” yang lazim dikemukakan oleh para orientalis dan pendakwah Kristian. Tidak dinafikan bahawa wujud banyak lagi percanggahan yang sudah dan bakal dikemukakan oleh mereka. Cara terbaik untuk menangani usaha para orientalis dan pendakwah Kristian tersebut bukanlah dengan menjawab setiap percanggahan yang mereka kemukakan, tetapi dengan mengetahui kaedah-kaedah untuk menghilangkan percanggahan tersebut.





TOP





Kaedah Menghilangkan Percanggahan Antara Ayat-Ayat al-Qur’an:

Apabila dihadapkan dengan beberapa ayat yang dituduh saling bercanggah, hendaklah:



1. Menyemak terjemahan atau maksud ayat-ayat tersebut – betulkah terdapat percanggahan di dalamnya. Kadangkala percanggahan dianggap berlaku semata-mata kerana terjemahan yang tidak tepat, pemahaman yang salah atau kata-kata yang ditokok-tambah sendiri. (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 1)



2. Menyemak sama ada ayat-ayat tersebut sebagai saling menyokong antara satu sama lain. Ini berlaku sama ada:

Ayat-ayat tersebut saling menjelaskan antara satu sama lain (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 2)



Satu ayat yang memperincikan keumuman ayat lain (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 3 & 4)



Satu ayat yang mengecualikan hukum asal yang terkandung dalam ayat lain (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 5)



Satu ayat yang membataskan kemutlakan ayat yang lain (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 6)



3. Mengenal pasti latarbelakang ayat-ayat tersebut (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 7 & 8)



4. Menguasai perbincangan antara ayat-ayat tersebut dan mencari penjelasan lanjut sama ada daripada ayat yang lain atau hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang sahih (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 9 & 10)



5. Apabila percanggahan merujuk kepada kisah-kisah nabi terdahulu, kajian ditumpukan kepada 3 perkara berikut, sama ada ianya sama atau berbeza:

Manusia yang berinteraksi,

Suasana interaksi tersebut berlaku dan

Faktor yang melatarbelakangi manusia dan suasana tersebut.









--------------------------------------------------------------------------------

[1] Tuduhan mereka ke atas al-Qur’an wujud dalam dua bentuk, dalaman (internal) dan luaran (external). Tuduhan dalaman ialah kononnya ayat-ayat al-Qur’an saling bercanggah antara satu sama lain. Tuduhan luaran ialah berkenaan keaslian al-Qur’an, merujuk kepada sejarah pembukuannya. Bagi mengenali tuduhan-tuduhan luaran ini beserta jawapannya, rujuk buku The History of The Qur’anic Text From Revelation to Compilation oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami (Islamic Academy, Leicester 2003).

[2] Ketika mengkaji ayat 9 hingga 12 surah Fussilat ini, penulis menemui beberapa tokoh yang menjelaskan bahawa penciptaan bumi dan apa yang berada di atasnya dilakukan serentak dan kedua-duanya disiapkan tanpa melebihi 4 masa. Kemudian disiapkan 7 lapisan langit selama 2 masa. Jumlah keseluruhannya menjadi 6 masa (4+2=6).

Sekali lagi ditegaskan, pembahagian penciptaan kepada kategori masing-masing tidak dimaksudkan untuk dicampurkan antara satu sama lain agar jumlahnya menjadi 6 masa. Ini kerana jumlah 6 masa adalah tempoh yang digunakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk mencipta seluruh langit dan bumi. Perhatikan bahawa dalam surah Fussilat di atas, penciptaan langit tidak disebut. Daripada Contoh Percanggahan # 1 dalam penulisan ini, kita ketahui bahawa Allah mencipta langit terlebih dahulu kemudian mencipta bumi [an-Nazi‘at 79:27-30]. Selepas mencipta bumi Allah beristawa’ ke langit dan seterusnya membahagikannya kepada 7 lapisan [al-Baqarah 2:29].

Nah, jika penciptaan bumi dan apa yang berada di atasnya mengambil tempoh 4 masa dan kejadian 7 lapisan langit mengambil 2 masa dan kedua-dua ini dicampurkan menjadi 6 masa, di manakah hendak diletakkan masa penciptaan langit? Justeru sekali lagi ditekankan, pembahagian penciptaan kepada kategori masing-masing tidak dimaksudkan untuk dicampurkan antara satu sama lain agar jumlahnya menjadi 6 masa.

[3] Muhammad Shalih al-‘Utsaimin – Syarh Muqaddimah at-Tafsir li Syaikh al- Islam Ibn Taimiyyah, ms. 279-281.





:: Al-Firdaus :: Indeks ::

0 ulasan: