abyat minal albi

Meh join....

Selasa, 1 Disember 2009

SAMBUNAGN BAB 3,

Bab 3:Bagaimana Memanfaatkan Kisah-Kisah Dalam al-Qur’an?



Memanfaatkan kisah Ahli Kitab:

1. Mengambil iktibar daripada perjalanan hidup mereka.

2. Mempelajari kesilapan mereka agar tidak berulang kepada kita.

3. Menganalisa diri kita, adakah kita juga mengikuti sikap mereka?



Memanfaatkan kisah para Nabi terdahulu:

1. Mempelajari cara-cara berdakwah

2. Memberi ketenangan dan kekuatan dalam berpegang kepada kebenaran.

3. Membetulkan sejarah para Nabi.









Dalam bab sebelumnya, ketika membicarakan Tips # 4, penulis menyebut bahawa hendaklah kita menyedari bahawa al-Qur’an ditujukan kepada diri kita sendiri. Apabila menelaahnya, hendaklah kita anggap seolah-oleh ia sedang berbicara dengan kita. Akan timbul pertanyaan, bagaimana hendak berbicara dengan kisah-kisah lampau yang terdapat di dalam al-Qur’an? Di dalam al-Qur’an terdapat kisah-kisah Ahli Kitab, yakni kaum Yahudi dan Nasrani (Kristian) padahal kita bukan orang Yahudi mahupun Kristian. Di dalam al-Qur’an terdapat kisah nabi-nabi terdahulu padahal kita bukanlah kaum yang didakwahkan oleh para nabi tersebut. Lalu bagaimana memanfaatkan kisah-kisah sebegini?

Berikut akan diterangkan bagaimana kita dapat memanfaatkan kisah-kisah yang terdapat dalam al-Qur’an. Kita mulai dengan ayat-ayat yang membicara tentang Ahli Kitab. Ayat-ayat ini tetap ditujukan kepada kita orang Islam dan dapat kita telaah dan manfaatkan dari tiga sudut:



1) Mengambil iktibar daripada perjalanan hidup mereka.

Sebagai contoh ialah firman Allah:



Dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah petunjuk bagi kaum Bani Israil. Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami selama mereka bersikap sabar serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. [as-Sajdah 32:23-24]



Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan bahawa apabila kaum Bani Israil bersabar menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikut petunjuk yang dibawa oleh para Rasul mereka, menjadilah di antara mereka (kaum Bani Israil) pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran.[1]



Daripada ayat di atas, kita umat Islam pada masa kini dapat mengambil iktibar bahawa pemimpin yang memimpin ke arah petunjuk agama tidak terhasil dengan semata-mata berkempen dan memangkah kertas undi. Akan tetapi akan terhasil apabila masyarakat itu sendiri yang sabar mempraktikkan agama secara keseluruhan dan beriman sepenuhnya kepada al-Qur’an.

Ini kerana seseorang pemimpin lahir daripada kalangan masyarakatnya sendiri, dididik oleh masyarakat yang sama dan akhirnya dipilih oleh masyarakat yang sama. Justeru siapakah pemimpin dan bagaimana kepimpinannya bergantung kepada nilai agama masyarakat itu sendiri. Jika masyarakat tersebut baik agamanya maka baiklah pemimpin dan kepimpinannya. Sebaliknya jika masyarakat tersebut rosak agamanya maka rosaklah juga pemimpin dan kepimpinannya.



Apabila berlaku banyak kerosakan dalam sesebuah negara, beban kesalahan tidak sekadar di bahu pemimpin tetapi di bahu rakyatnya juga. Firman Allah:



Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [ar-Rum 30:41]



Demikian juga, apabila wujud pemimpin yang memimpin secara zalim, beban kesalahan tidak sekadar di bahu pemimpin tetapi di bahu rakyatnya juga. Firman Allah:



Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang telah mereka usahakan. [al-An‘aam 6:129][2]



Oleh itu jika berlaku sesuatu yang kurang Islamik dalam sesebuah negara, janganlah disalahkan pemimpinnya sahaja tetapi salahkan juga masyarakat negara tersebut. Malah jika hidup dalam negara itu, maka salahkanlah diri sendiri. Mengubah satu negara yang kurang Islamik kepada Islamik sepenuhnya tidak didahului dengan mengubah pemimpin tetapi dengan mengubah diri sendiri dan masyarakat terlebih dahulu.





TOP





2) Mempelajari kesilapan mereka agar tidak berulang kepada kita.



Sebagai contoh ialah firman Allah:



Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” [al-Maidah 5:77]



Antara perbuatan melampau (ghuluw) yang dilakukan oleh Ahli Kitab ialah mencipta pelbagai ibadah dan doktrin baru (bid‘ah) agar ia “melebihi” apa yang sudah sedia disyari‘atkan dalam agama mereka. Akhirnya agama mereka telah tersasar jauh daripada yang asli. Kesan-kesan bid‘ah ini dapat kita perhatikan sehingga ke hari ini.



Tidak berlebihan untuk dikatakan bahawa sebahagian umat Islam masa kini juga rancak mencipta ibadah dan doktrin agama yang baru, melebihi kesempurnaan yang sedia terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Tindakan mereka tidak jauh berbeza daripada tindakan Ahli Kitab sebagaimana ayat di atas. Oleh itu hendaklah belajar daripada kesilapan Ahli Kitab yang disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat di atas agar dengan itu kita semua terselamat daripada kesesatan.[3]



Jika kaum Nasrani mencipta doktrin ketuhanan Trinity, sebahagian umat Islam mencipta doktrin Wahdah al-Wujud, iaitu kesamaan wujud antara makhluk dan Allah di mana yang benar-benar wujud hanyalah Allah, doktrin al-Ittihad, iaitu makhluk bersatu dengan Allah dan al-Hulul, iaitu Allah mengambil tempat di dalam makhluk.[4] Doktrin-doktrin ini tidak digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta tidak pernah menjadi pegangan generasi awal umat Islam (as-Salafusshalih). Lebih dari itu ia juga tidak menjadi pegangan generasi awal aliran tasawuf.





TOP





3) Menganalisa diri kita, adakah kita juga mengikuti sikap mereka?

Sebagai contoh ialah firman Allah:



Sesudah itu maka patutkah kamu (wahai Bani Israil) hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? [al-Baqarah 2:85]



Sikap kaum Bani Israil, sebagaimana yang diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat di atas, adalah mengimani dan mempraktikkan sebahagian daripada ajaran kitab Taurat dan mengingkari sebahagian yang lain.



Perlu kita menganalisa diri kita sendiri, adakah sikap kita terhadap al-Qur’an sama seperti sikap kaum Bani Israil terhadap kitab Taurat? Adakah kita mempraktikkan sebahagian ayat dan meninggalkan sebahagian yang lain, atau adakah kita mempraktikkan sebahagian al-Qur’an dan meninggalkan sebahagian yang lain. Sebagai contoh, adakah kita sama-sama mempraktikkan ayat al-Qur’an berikut ini secara keseluruhannya:



Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. [al-Baqarah 2:43]



Kita mendirikan solat lima kali sehari, menepati perintah pertama ayat di atas. Akan tetapi adakah kita mempraktikkan perintah seterusnya, iaitu mengeluarkan zakat harta tahunan dan mendirikan solat secara berjamaah? Ini kerana firman Allah “mengeluarkan zakat” merujuk kepada zakat harta tahunan manakala “rukuklah kamu semua bersama-sama orang-orang yang rukuk” merujuk kepada solat berjamaah di masjid atau surau.



Jika contoh di atas merujuk kepada satu ayat yang dipraktikkan sebahagian dan ditinggalkan sebahagian, maka contoh berikut merujuk kepada mempraktikkan sebahagian al-Qur’an dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita mempraktikkan ajaran al-Qur’an untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan:



Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]



Akan tetapi sudahkah kita mempraktikkan ajaran al-Qur’an untuk mendakwah orang lain ke arah Islam dengan cara hikmah dan baik:



Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. [an-Nahl 16:125]



Sama-samalah kita memikirkan jawapannya.







TOP





Seterusnya akan diterangkan bagaimana kita dapat memanfaatkan kisah-kisah sejarah para Nabi sebelum Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wassalam. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkhabarkan kisah-kisah sejarah ini bukanlah untuk dijadikan cerita-cerita kosong tetapi untuk diambil iktibar daripadanya. Allah berfirman:

Demi sesungguhnya kisah para Nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan tetapi ia mengesahkan apa yang disebut dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. [Yusuf 12:111]



Terdapat tiga iktibar yang dapat diperoleh daripada sejarah para nabi tersebut:[5]



1) Mempelajari cara-cara berdakwah

Berdakwah bukan sekadar bersemuka terus dengan seseorang tetapi adalah berdasarkan ilmu, hikmah dan pandangan yang luas. Daripada sejarah para Nabi, kita dapat mempelajari beberapa manhaj dakwah yang bermanfaat. Berikut diberikan beberapa contoh:



a) Memberi prioriti kepada tauhid:



Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku oleh itu beribadatlah kamu kepada-Ku.” [al-Anbiya’ 21:25]



Oleh itu apabila kita berdakwah kepada seseorang, prioriti bukanlah kepada persoalan hukum-hakam seperti meninggalkan arak, sunat kemaluan, menutup aurat tetapi adalah kepada persoalan tauhid kepada Tuhan yang sebenar, iaitu Allah.



b) Menggunakan adab yang baik ketika berdakwah, seperti menggunakan kata-kata yang lemah lembut:



Pergilah kamu berdua (Nabi Musa dan Harun) kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.” [Ta-Ha 20:43-44]



Perhatikan bagaimana tunjuk ajar Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Nabi Musa dan Harun apabila mengutus mereka untuk pergi berdakwah kepada Firaun, seorang yang amat zalim lagi melampaui batas dalam kekufurannya. Allah tidak menyuruh mereka menggunakan kata-kata yang keras, sebaliknya menggunakan “…kata-kata yang lemah-lembut…”.



Jika terhadap Firaun Allah menuntut adab berdakwah yang baik, maka sudah tentu tuntutan yang sama hendaklah diterapkan ke atas orang-orang lain apabila kita berdakwah.



c) Tidak mengharapkan kejayaan serta merta.



Perhatikan semula ayat 43-44 surah Ta-Ha di atas. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengakhirinya dengan “…semoga dia beringat atau takut” dan bukannya “semoga dia beriman serta merta.” Daripada firman Allah ini dapat diambil iktibar bahawa apabila berdakwah, jangan mengharapkan kejayaan serta merta. Berilah kepada orang tersebut tempoh masa untuk memikirkannya dan menganalisa dirinya sendiri.



d) Berdoa kepada Allah:

Apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengutuskan Nabi Musa untuk berdakwah kepada Firaun, Nabi Musa berdoa kepada-Nya, meminta kemudahan untuk berdakwah:



Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku dan mudahkanlah bagiku tugasku dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.



Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku, iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah dengan sokongannya pendirianku, dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku.” [Ta-Ha 20:25-32]



Ini memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar dakwah kita adalah memperoleh kejayaan.



e) Mengenal pasti kelemahan diri sendiri dalam berdakwah.



Masih merujuk kepada ayat 25-32 surah Ta-Ha di atas, dapat juga diambil iktibar bahawa seorang pendakwah yang berjaya adalah mereka yang sentiasa menganalisa dan mengenal pasti kelemahan-kelemahan dirinya dalam berdakwah. Berjaya atau tidak dakwahnya tidak dibebankan kepada orang yang sedang didakwahnya tetapi ke atas dirinya sendiri.



Dalam ayat di atas, Nabi Musa mengenal pasti dua kelemahannya, iaitu memilih kata-kata yang sesuai ketika berdakwah dan kesukaran yang bakal dihadapinya jika dia berseorangan. Untuk kelemahan yang pertama, Nabi Musa berdoa kepada Allah agar “…lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.” Untuk kesukaran yang kedua, Nabi Musa meminta agar saudaranya Harun dapat menjadi teman dakwahnya.



Justeru apabila kita menghadapi halangan dalam berdakwah, jangan disalahkan orang yang sedang kita dakwahkan itu. Jangan menuduhnya sebagai degil, keras kepala, tiada hidayah dan sebagainya. Sebaliknya hendaklah disalahkan diri sendiri dan menganalisa serta memperbaiki cara kita berdakwah.







TOP







2) Memberi ketenangan dan kekuatan dalam berpegang kepada kebenaran.

Dalam sejarah para Nabi kita dapat memerhatikan bagaimana mereka dizalimi dengan pelbagai cara oleh masyarakat mereka sendiri. Kezaliman ini menimpa para Nabi semata-mata kerana kebenaran yang mereka pegang dan sampaikan. Semua ini dikhabarkan oleh Allah Azza wa Jalla dengan tujuan memberi ketenangan dan kekuatan kepada kita semua bahawa sudah menjadi lumrah bahawa sesuatu kebenaran itu akan diikuti dengan reaksi yang negatif daripada masyarakat.

Firman Allah:

Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman. [Hud 11:120]



Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu. [al-An‘aam 6:34]



Oleh itu janganlah berputus asa atau merasa lemah untuk berpegang kepada kebenaran dan menyampaikannya. Para Nabi Allah yang terdahulu juga telah menghadapi cabaran yang sama. Tidaklah dinamakan kebenaran jika tidak diikuti dengan kebatilan yang memeranginya. Justeru tetapkanlah hati dan teguhkanlah azam sebagaimana yang dilakukan oleh para Nabi terdahulu, ‘alaihimussalam.





TOP





3) Membetulkan sejarah para Nabi.

Sebagai contoh, orang-orang daripada aliran “semua agama adalah sama” mendakwa bahawa agama Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Islam adalah sama kerana ia adalah agama Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Dakwaan ini adalah salah sepertimana yang ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Bukanlah Nabi Ibrahim seorang pemeluk agama Yahudi mahupun pemeluk agama Kristian tetapi dia adalah seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim dan dia juga bukanlah dari kalangan orang-orang musyrik.

Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman. [Ali Imran 3:67-68]



Demikian beberapa contoh yang sempat diberikan tentang bagaimana memanfaatkan kisah-kisah di dalam al-Qur’an. Pasti sahaja contoh-contoh di atas tidak merangkumi semua manfaat yang boleh diraih daripada kisah-kisah tersebut. Yang penting semua kisah-kisah di dalam al-Qur’an memiliki manfaat yang tersendiri dan akan ditemui oleh sesiapa jua yang menelaahnya dengan cermat.

Sebelum beralih ke bab seterusnya, ingin penulis ingatkan kepada para pembaca sekalian bahawa kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Qur’an adalah mencukupi sekadar apa yang dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Apa yang bermanfaat sudah dikhabarkan manakala apa yang tidak bermanfaat telah ditinggalkan. Oleh itu tidak perlu kita menokok tambah cerita-cerita sendiri yang tidak diketahui asal usulnya. Antara cerita-cerita yang dimaksudkan ialah kononnya apabila diturunkan ke bumi, Nabi Adam dan Hawa terpisah lalu mereka bertemu kembali di Jabal Rahmah, kapal Nabi Nuh sebesar sekian-sekian dan diperbuat daripada kayu jenis sekian-sekian, Nabi Yusuf akhir berkahwin dengan Zulaikha dan pelbagai lagi.



Bab 4 : Tiga Petua Mujarab al-Qur’an



--------------------------------------------------------------------------------

[1] Ibn Katsir – Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999), jld. 3, ms. 431.

[2] Ibn Taimiyyah – Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 35, ms. 20.

[3] Lebih lanjut tentang bagaimana sifat melampaui batas sedang melanda umat Islam masa kini, rujuk buku: al-Ghuluw fi ad-Din oleh ‘Abdul Rahman bin Mu‘ala al-Luwaihiq (Univ. Islam Muhammad Ibn Sa’ud, Riyadh 1998). Ia sudahpun diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Jamaluddin Zarabozo dengan judul Religious Extremism In The Lives Of Contemporary Muslims (al-Basheer, Boulder, U.S.A. 2001), juga ke bahasa Indonesia oleh Kathur Suhardi dengan judul Ghuluw: Benalu Dalam Berislam (Darul Falah, Jakarta 2003). Selain itu rujuk juga buku Berlebih-lebihan Dalam Agama yang diterjemah oleh Rusli dan Rizal (Pustaza Azzam, Jakarta 2002) daripada karya asal Abud bin ‘Ali bin Dar’ yang berjudul al-Ghuluw fi ad-Din.

[4] Lebih lanjut tentang doktrin Wahdah al-Wujud, rujuk kertas kerja penulis Pandangan Ibnu Taimiyyah Dalam Tasawwuf dalam buku Koleksi Kertas Kerja Seminar Pemikiran Ibnu Taimiyyah (al-Hikmah, Kuala Lumpur 2004), ms. 110-120.

Lebih lanjut tentang doktrin al-Ittihad dan al-Hulul, rujuk keterangan Ibn Taimiyyah dalam bukunya at-Tuhfatul ‘Iraqiyyah fil ‘Amal al-Qalbiyyah (edisi terjemahan oleh Muhammad al-Mighwar dengan judul Mengenali Gerak Gerik Kalbu; Pustaka Hidayah, Bandung 2001), ms. 97-98.

[5] Untuk perbincangan yang lebih mendalam rujuk at-Tahrir wat-Tanwir oleh Ibn ‘Asyur (ابن عاشور) (Muassasah at-Tarikh al-‘Arabi, Beirut 2000, juga dikenali sebagai Tafsir Ibn ‘Asyur), jld. 1, ms. 63-69 di mana beliau telah menyenaraikan sepuluh faedah kisah-kisah para Nabi terdahulu kepada kita.



:: Al-Firdaus :: Indeks ::

0 ulasan: